Sekumpulan bekas pelajar yang sudah berjaya di dalam kerjaya masing-masing telah berkumpul untuk melawat pensyarah universiti yang pernah mengajar mereka. Mereka berasa gembira kerana dapat bersua sesama mereka setelah lama tidak berjumpa, apatah lagi dapat menemui pensyarah universiti yang selama ini telah banyak membantu mereka ketika menuntut ilmu di universiti yang menatijahkan kerjaya yang baik buat mereka.
Setelah lama berbual, timbullah beberapa
rungutan tentang tekanan di tempat kerja dan juga dalam kehidupan
seharian yang disuarakan oleh beberapa bekas pelajar ini. Pensyarah itu
hanya mendengar dan kemudian beliau ke dapur untuk menyediakan air kopi
untuk tetamu-tetamunya.
Beliau kemudiannya keluar dengan membawa
satu bekas besar yang berisi air kopi dan beberapa jenis cawan. Ada
cawan itu diperbuat daripada porselin, plastik, kaca dan kristal. Ada
yang kelihatan ringkas sahaja, ada yang kelihatan murah, ada juga yang
kelihatan mahal dan sangat cantik.
Pensyarah itu mempelawa tetamu-tetamunya
agar melayan-diri. Masing-masing pergi ke meja tempat dihidangkan air
kopi itu dan menuangkan sendiri air kopi ke dalam cawan yang
berbagai-bagai bentuk dan buatannya itu. Setelah semuanya mengambil
secawan kopi, pensyarah itu berkata:
“Jika anda perasan, kesemua cawan-cawan
yang kelihatan cantik dan mahal telah pun diambil, tetapi cawan-cawan
yang ringkas dan nampak murah tiada sesiapa yang mahu mengambilnya.
Biasalah tu, memang semua nakkan yang terbaik untuk diri sendiri kan…”
Beliau kemudian menyambung.
“Itulah puncanya kepada masalah-masalah anda. Dan itulah sebabnya kenapa anda berasa tertekan dengan kerjaya dan kehidupan.”
“Saya pasti, cawan-cawan itu tidak
memberikan apa-apa nilai kepada air kopi yang anda minum. Dalam
beberapa situasi, cawan-cawan itu hanya membuatkan kopi yang diminum itu
lebih mahal harganya. Dan di dalam situasi yang lain, cawan itu malah
menyorokkan apa yang kita minum.”
“Apa yang anda semua betul-betul mahukan
adalah air kopi itu, bukan cawannya. Tetapi anda tetap mahukan cawan
yang terbaik sifatnya, dan kemudian anda memandang dan menjeling ke arah
cawan kawan-kawan anda untuk melihat siapakah yang memiliki cawan yang
paling cantik atau paling bagus.”
“Sekarang, cuba anda fikirkan: KEHIDUPAN
adalah air kopi. Manakala pekerjaan, wang, pangkat dan kedudukan di
dalam masyarakat adalah cawan. Itu semua merupakan alat untuk memegang
dan terkandung di dalamnya KEHIDUPAN!”
“Rupa dan jenis cawan tidak memberi makna
atau mengubah nilai KEHIDUPAN yang sedang kita jalani ini.
Kadang-kadang dengan kita hanya menumpukan kepada rupabentuk CAWAN, kita
gagal untuk menikmati AIR KOPI itu. Jadi, nikmatilah AIR KOPI itu,
bukan CAWANNYA!”
“Manusia yang bahagia bukanlah mereka
yang memiliki yang terbaik dalam setiap perkara. Manusia yang bahagia
adalah mereka yang sentiasa membuat yang terbaik di dalam
setiap perkara.”
“Hiduplah dengan sederhana. Bercakaplah
dengan baik, ambil beratlah dengan sungguh-sungguh, berkasih sayanglah,
bermurah hatilah…dan hayatilah kehidupan ini dengan penuh makna, dan
jangan terlalu ditumpukan kepada aksesori kehidupan”
Mudah-mudahan kalian dapat memahami mesej
yang cuba disampaikan oleh tulisan di atas. Tulisan di atas telah saya
terjemah dan sunting dari video ‘Life Is Like A Cup Of Coffee’ yang dipetik dari spiritual-short-stories.com. Penulis asalnya tidak diketahui.